Hamas berjuang hingga Palestin berdaulat

GAZA – Hamas menolak tuntutan utama Israel untuk menamatkan perang di Gaza sebaliknya menegaskan bahawa mereka tidak akan meletakkan senjata selagi sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka tidak ditubuhkan.

Pasukan pejuang Palestin itu, dalam kenyataannya berkata mereka tidak akan mengorbankan hak terhadap ‘penentangan bersenjata’ melainkan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis ibu negara diwujudkan.

Rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel bagi mencapai gencatan senjata selama 60 hari dan perjanjian pembebasan tebusan berakhir minggu lalu tanpa sebarang kata putus.

Pada Selasa, Qatar dan Mesir, selaku pengantara dalam usaha gencatan senjata, menyokong satu deklarasi oleh Perancis dan Arab Saudi yang menggariskan langkah-langkah ke arah penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Deklarasi itu turut menyatakan bahawa Hamas perlu menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang disokong Barat sebagai sebahagian daripada pelan tersebut.

Israel menganggap peletakan senjata Hamas sebagai syarat utama bagi sebarang perjanjian untuk menamatkan konflik, namun Hamas berulang kali menyatakan bahawa mereka tidak akan melaksanakannya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menggambarkan sebarang negara Palestin merdeka di masa depan sebagai platform untuk memusnahkan Israel dan atas alasan itu, kawalan keselamatan ke atas wilayah Palestin mesti kekal di bawah Israel.

Beliau turut mengkritik beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) dan Kanada yang mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf negara Palestin.

Nnn

Related posts

Leave a Comment