Kemboja, Thailand hargai ketegasan Malaysia

PUTRAJAYA 28 Julai – Kemboja dan Thailand menghargai ketegasan Malaysia dalam memainkan peranannya bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta konflik antara kedua-dua negara sejak Khamis lalu.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyifatkan mesyuarat khas bagi melaksanakan gencatan senjata yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, “amat penting dan tepat pada masanya”.

“Hari ini kita bermesyuarat dengan baik dan membuahkan hasil yang sangat positif, dan kita berharap ia akan menghentikan serta-merta pertempuran yang telah mengorbankan banyak nyawa, mencederakan ramai penduduk dan menyebabkan pemindahan besar-besaran.

“Kami berharap penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri Anwar akan menjadi asas bagi perbincangan dua hala untuk memulihkan hubungan seperti sediakala dan sebagai asas kepada pengurangan ketegangan membabitkan ketenteraan pada masa depan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat khas bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Hun Manet dan Phumtham turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada peranan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan China dalam mesyuarat penting ini serta sokongan mereka terhadap keamanan.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini Duta AS ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

AS bertindak sebagai penganjur bersama mesyuarat itu manakala China sebagai pemerhati.

Hun Manet berkata, krisis di sempadan telah menyebabkan seramai 300,000 orang menjadi pelarian, dengan 140,000 orang berada di pihak Kemboja manakala selebihnya daripada pihak Thailand.

Beliau turut menghargai peranan positif yang dimainkan oleh Phumtham dalam dialog membina hari ini sehingga membawa kepada persetujuan untuk menghentikan pertempuran berkuat kuasa tengah malam ini.

Kemboja dan Thailand mencapai persefahaman bersama termasuk pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa mulai tengah malam ini.

Kedua-dua negara juga akan mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara pegawai pemerintah serantau pada pukul 7 pagi 29 Julai , diikuti dengan mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, tertakluk kepada persetujuan bersama.

Kemboja dan Thailand turut bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 4 Ogos yang akan dihoskan oleh Kemboja.

Hun Manet berkata, GBC akan menjadi platform yang baik bagi memperluas perbincangan untuk memulihkan keadaan seperti sediakala.

Sementara itu, Phumtham berkata hasil mesyuarat hari ini mencerminkan hasrat Thailand untuk mencapai penyelesaian secara aman demi mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi nyawa rakyat.

“Kami bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dengan penuh keikhlasan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment