Lima lokaliti catat IPU tidak sihat

PUTRAJAYA – Lima lokaliti mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 3 petang ini manakala 57 lagi lokaliti merekodkan tahap sederhana dan enam kawasan merekodkan IPU baik.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata lokaliti IPU tidak sihat itu adalah Putrajaya (IPU 139); Banting dan Johan Setia, Selangor (IPU 154); Nilai, Negeri Sembilan (IPU 162) dan Alor Gajah, Melaka.(IPU 110).

Beliau berkata, kemerosotan kualiti udara dipengaruhi pergerakan asap jerebu memasuki rantau negara ini sepanjang tempoh 24 jam lalu, selain tiada kebakaran berskala besar secara domestik.

Mengikut laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berpangkalan di Singapura semalam, imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) 20, terdapat 95 titik panas dikesan di Indonesia, masing-masing Sumatera (65) dan Kalimantan (30).

Empat lagi titik panas pula dikesan di negara ini, masing-masing dua di Pahang dan Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memberitahu, peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC hari ini, menunjukkan pergerakan angin bertiup ke arah barat daya dan tiada lingkaran asap jerebu diperhatikan.

Keadaan kering dilaporkan di selatan Semenanjung, manakala di Indonesia membabitkan Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan selatan Kalimantan.

Titik panas terpencil dikesan di Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Viet Nam dan Thailand.

Sehubungan itu, Abdul Latiff berkata, tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ditingkatkan ke kawasan berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Katanya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) juga sudah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan bagi menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Beliau menasihatkan semua pemilik tanah memantau secara rapi kawasan mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Mereka juga perlu mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pembenihan awan akan dibuat, tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam, selain menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100.

Katanya, sekolah, taman didikan kanak-kanak (TADIKA) dan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) ditutup serta-merta jika bacaan IPU melebihi 200.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah mahupun premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Related posts

Leave a Comment