TEL AVIV – Parti ultra-Ortodoks Israel, Degel HaTorah, menarik diri daripada kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, susulan pertikaian berterusan berhubung rang undang-undang kerahan tentera terhadap golongan lelaki Haredi.
Bagaimanapun pengunduran Degel HaTorah tidak menumbangkan kerajaan, tetapi berpotensi menggugat kestabilan gabungan sedia ada, terutama jika parti-parti ultra-Ortodoks lain seperti Shas turut mengambil pendirian yang sama.
Dalam satu kenyataan rasmi, parti itu menyatakan keputusan drastik tersebut dibuat selepas kerajaan Netanyahu dilihat gagal melindungi hak pelajar institusi agama daripada dikenakan perkhidmatan ketenteraan.
“Kami tidak lagi boleh kekal dalam gabungan yang mengabaikan kewajipan untuk melindungi pelajar-pelajar Taurat daripada dipaksa menyertai tentera,” kata kenyataan itu.
Isu kerahan tentera terhadap lelaki Haredi – komuniti ultra-Ortodoks yang selama ini diberikan pengecualian bagi menumpukan hidup kepada pengajian agama – telah lama menjadi perdebatan hangat dalam masyarakat Israel, terutama dalam kalangan sekular yang melihat pengecualian tersebut sebagai tidak adil.
Kerajaan Netanyahu sebelum ini berusaha membentangkan rang undang-undang baharu yang akan menyusun semula dasar pengecualian tersebut, tetapi ditolak keras oleh parti-parti ultra-Ortodoks yang menganggap langkah itu mencabul nilai agama dan warisan komuniti mereka.
