Trump dijangka hadir Kemuncak ASEAN ke-47

KUALA LUMPUR 10 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dijalankan untuk memuktamadkan tarikh bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN–AS.

“Ya, ia berkemungkinan (Trump hadir ASEAN ke-47). Kami sedang usahakan tarikh untuk itu (hadir),” katanya ringkas kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov yang berlangsung di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58.

Ia pertemuan secara bersemuka kali kedua antara Lavrov dan Rubio selepas pertemuan pertama mereka di Arab Saudi pada Februari lalu sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk memulihkan hubungan dua hala dan membantu merundingkan penyelesaian kepada perang yang berlarutan sejak 2022.

Pertemuan kali ini dikatakan sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Presiden AS, untuk memulihkan hubungan dua hala dan membantu merundingkan penyelesaian kepada perang yang sedang berlaku.

Sementara itu, Anwar Ibrahim menyampaikan jemputan rasmi kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di sini, Oktober ini.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata jemputan itu disampaikan menerusi Setiausaha Negara AS,  yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau hari ini.

“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” kata Anwar.

Pertemuan kira-kira 40 minit itu diadakan di Bangunan Parlimen dan ia adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.

Selain itu, Anwar berkata pertemuan tersebut juga membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata Perdana Menteri.

Beliau juga menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh AS seperti yang diumumkan Trump.

“Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia.

Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment