PH terbuka terima pendapat anggota PKR

KUALA LLUMPUR 8 Julai- Pakatan Harapan (PH) menerima secara terbuka semua pendapat dikemukakan anggota PKR dalam memantapkan tadbir urus negara, kata Ketua Setiausahanya, Saifuddin Nasution Ismail.

Ahli Biro Politik PKR itu berkata dalam parti, ahli bebas untuk memberikan perbezaan pandangan dan pendapat kepada sesiapa sahaja yang mereka inginkan walaupun ia mungkin nampak janggal bagi parti lain.

“PKR ini adalah satu parti terbuka yang menerima perbezaan pendapat daripada penyokong kerajaan. Bagi orang lain mungkin nampak pelik tapi bagi PKR ia adalah parti terbuka yang meraikan perbezaan pendapat dan kebebasan pandangan.

Dalam PKR, pandangan yang lebih tajam daripada itu pun pernah kita terima,” katanya pada sidang media selepas menghadiri INTAN Minister’s Conversation’ (IMC) 2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.

Semalam sembilan Ahli Parlimen dalam PKR menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada satu sidang media mendakwa, pencalonan bagi beberapa jawatan hakim itu sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini namun tidak diambil tindakan sewajarnya.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir tetapi menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Ditanya sama ada tindakan yang dilakukan oleh ahli PKR itu akan memberi impak buruk kepada prestasi kerajaan PH, Menteri Dalam Negeri itu menafikan mengenai perkara berkenaan.

Katanya, Rafizi masih lagi seorang Ahli Parlimen, malah mereka juga memaklumkan masih mendukung kerajaan.

Nnnn.

Related posts

Leave a Comment