BEIRUT – Presiden Lubnan Joseph Aoun mendakwa Israel melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menduduki lima bukit di selatan negara itu.
Beliau yang mengadakan pertemuan dengan Komander Pasukan Pengaman PBB (UNIFIL) Mejar Jeneral Diodato Abagnara menggesa Israel berundur dari lima bukit itu bagi membolehkan tentera Lubnan melengkapkan penempatan mereka di sempadan yang diiktiraf antarabangsa.
Aoun menekankan kepentingan peranan UNIFIL di rantau itu dan mengulangi komitmen Lubnan terhadap Resolusi 1701 yang menyeru penempatan pasukan pengaman PBB di negara itu.
Presiden Lubnan itu berkata bilangan anggota tentera di selatan Lubnan akan ditambah bagi memastikan keselamatan dan keamanan di kawasan berkenaan.
Keadaan serantau ketika ini memerlukan kehadiran berterusan pasukan antarabangsa yang bekerjasama dengan tentera kami untuk mengekalkan kestabilan di selatan, yang tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan serantau,” kata Aoun.
UNIFIL telah beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978 dan diperkukuhkan selepas perang 2006 antara Israel dan Kumpulan Hizbullah Lubnan. Mandatnya akan tamat pada 31 Ogos 2025 kecuali disambung semula oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lubnan pada 8 Oktober 2023 dan merebak menjadi perang skala penuh pada 23 September 2024 dengan mengorbankan lebih 4,000 orang, mencederakan lebih 17,000 dan memaksa hampir 1.4 juta orang berpindah.
Pasukan tentera Israel melakukan serangan hampir setiap hari di selatan Lubnan dengan mendakwa menyasarkan aktiviti Hizbullah, meskipun terdapat gencatan senjata antara Israel dan Lubnan yang dicapai pada November lalu.
Perjanjian itu menamatkan pertempuran rentas sempadan selama beberapa bulan antara Israel dan kumpulan penentang Lubnan itu.
Pihak berkuasa Lubnan melaporkan hampir 3,000 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, termasuk menyebabkan sekurang-kurangnya 224 kematian dan lebih 500 cedera sejak perjanjian itu dimeterai.
Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan pada 26 Januari, namun tarikh akhir dilanjutkan ke 18 Februari selepas Tel Aviv enggan mematuhi perjanjian berkenaan.
Nnnn
