Negeri Sembilan perlu tolak Bersatu

KUALA PILAH 19 Julai – Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berharap ahli serta penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan mencontohi pengundi Johor dengan menolak Bersatu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) kali ini.

Beliau berkata dengan penolakan itu juga, semua 24 calon Bersatu yang bertanding akan kehilangan deposit mereka.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berharap Negeri Sembilan akan turut mengekalkan rekod seperti Johor bagi memastikan Bersatu tidak mendapat sokongan dalam pilihan raya.

“Kerana apa… kerana Bersatu itu diwujudkan dahulu nak ganti UMNO. Jadi, Negeri Sembilan mesti sahkan keputusan Johor dan pastikan Bersatu di Negeri Sembilan ‘KO’ habis.

Supaya bila Pilihan Raya Umum (PRU), tak payah dia bertanding apa-apa kerusi Parlimen. Senang BN satu lawan satu dengan parti mana?

“Macam sekarang ini (dalam PRN Negeri Sembilan) satu lawan satu yang akan memudahkan dan memastikan kita kembali menguasai negara kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johol.

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan berikrar akan melaksanakan mandat diberikan rakyat sebaik mungkin sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN Negeri Sembilan.

Presidennya  Muhyiddin Yassin berkata, parti itu bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus melepasi jumlah majoriti mudah sebanyak 19 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut menyifatkan kemasukan Bersatu dalam PRU DN Negeri Sembilan sebagai ‘kacau daun’.

Menteri Pertahanan itu berkata, disebabkan itu, BN seharusnya tidak boleh mempunyai kemenangan tipis di setiap kerusi yang ditanding dalam pilihan raya kali ini.

“Atas sebab itulah kita tak boleh ada kemenangan tipis kerusi. Kita nak pastikan dan saya percaya orang Melayu faham, kalau bagi BN sedikit, bagi Bersatu sedikit… Bersatu ini kacau daun,” katanya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment