DUN Melaka lulus 7 ADUN lantikan

AYER KEROH 14 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan penambahan sehingga tujuh Ahli DUN (ADUN) lantikan.

Usul yang dibentangkan Ketua Menteri,  Ab Rauf Yusoh itu disokong 23 ADUN termasuk tiga wakil pembangkang, manakala lima wakil Pakatan Harapan (PH) merangkumi empat ADUN DAP dan satu Amanah tidak menyokong.

Menerusi keputusan berkenaan, membolehkan kerajaan Melaka melantik sehingga tujuh ADUN lantikan merangkumi pelbagai latar belakang sepertimana yang termaktub dalam rang undang-undang terbabit.

Dalam Perkara 11 Perlembagaan Negeri Melaka yang dicadangkan dipinda dengan menambah sehingga tujuh ADUN lantikan, namun bilangan 28 ADUN sedia ada yang dipilih melalui pilihan raya tidak berubah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen No. 5 Tahun 2003

Pindaan terbabit adalah berdasarkan beberapa faktor utama iaitu memperkukuh representasi di DUN dengan pelantikan terbabit membolehkan individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi serta pembangunan negeri menyumbang secara langsung kepada proses penggubalan dasar dan perbahasan di Persidangan DUN.

Selain itu, ia turut memberi ruang kepada kumpulan yang kurang diwakili sekali gus meningkatkan penyertaan golongan wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional serta wakil sektor industri yang mungkin tidak berjaya melalui pilihan raya tetapi berpotensi menyumbang kepada pembangunan negeri.

Ia juga meningkatkan kualiti perbahasan dan semak imbang apabila ADUN lantikan yang dipilih adalah berdasarkan kepakaran mampu memberikan pandangan yang lebih teknikal, profesional dan objektif terhadap rang undang-undang, dasar kerajaan serta isu pentadbiran negeri.

Ia sekali gus memperkukuh fungsi legislatif, selain menyokong agenda pembangunan negeri dengan kerajaan negeri dapat memanfaatkan kepakaran individu berpengalaman dalam bidang strategik bagi membantu merealisasikan dasar pembangunan, menarik pelaburan serta meningkatkan daya saing Melaka.

Kewujudan ADUN lantikan itu juga adalah selaras dengan amalan beberapa negeri lain yang mempunyai peruntukan bagi melantik ADUN atau ahli tambahan untuk memperkukuh fungsi legislatif serta memastikan komposisi DUN lebih inklusif.

Pelantikan sedemikian adalah sebahagian daripada mekanisme yang diperuntukkan di bawah perlembagaan negeri masing-masing.

Ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan, Ab Rauf berkata setiap ADUN lantikan hendaklah dilantik melalui usul yang disokong sekurang-kurangnya tujuh ADUN dan diluluskan dengan majoriti mudah sebelum dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri.

Katanya, seseorang individu hanya layak dilantik sebagai ADUN jika bermastautin di Melaka.

“Kerusi ADUN lantikan akan dikosongkan sekiranya mereka mengemukakan surat peletakan jawatan, dipecat melalui usul yang disokong sekurang-kurangnya tujuh ADUN dan diluluskan dengan majoriti mudah, DUN dibubarkan atau pelantikannya ditamatkan di bawah Perkara 11B Perlembagaan Negeri Melaka, mengikut mana-mana yang berlaku terlebih dahulu.

“Serentak itu, ADUN lantikan berhak bercakap, mengambil bahagian dalam perbahasan dan jawatankuasa DUN, selain dibenarkan mengundi, tertakluk kepada had yang ditetapkan, menikmati hak dan keistimewaan yang sama seperti ADUN dipilih, namun mereka tidak layak dilantik sebagai Ketua Menteri atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO),” katanya.

Ab Rauf berkata, Yang di-Pertua Negeri boleh, atas nasihat Ketua Menteri, menamatkan pelantikan seseorang ADUN lantikan tanpa perlu memberikan alasan sekiranya penamatan itu dianggap perlu demi kepentingan negara atau negeri, keselamatan negara, dasar kerajaan atau dasar awam.

Katanya, penentuan mengenai perkara terbabit adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan dianggap muktamad.

Nnn

Related posts

Leave a Comment