Tidak layak digelar warganegara

KUALA LUMPUR 1 Jun – Mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar warganegara Malaysia, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini.

Seri Paduka bertitah, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 adalah aku janji dan ikrar setiap warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.

“Jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah setiap rakyat harus bersatu hati, bertolak ansur dan saling hormat menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.

Titah Seri Paduka, perpaduan adalah asas kekuatan negara yang menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan, menghina orang lain, dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini.

“Peristiwa ini (13 Mei) telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menitahkan semua pemimpin politik supaya sentiasa menjaga adab dan tutur kata serta berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Titah baginda, ahli politik tidak seharusnya mencetuskan sebarang provokasi terhadap isu sensitif terutama menjelang musim pilihan raya yang menjadi medan untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.

“Elakkan provokasi dan pertikaian mengenai isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama, kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” titah baginda.

Istiadat pengurniaan hari ini kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment