Rafizi dakwa hubungan istimewa PM, Ramanan

SEPANG 7 April – Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri mempunyai hubungan istimewa dengan R.Ramanan sehingga sanggup melanggar janji untuk tidak membawa Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menganggotai Kabinet.

Justeru bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Ekonomi itu berharap orang ramai dapat  menilai sendiri bahawa Anwar Ibrahim sudah terikat dengan beberapa orang seperti Ramanan.

Rafizi dalam perkongsian menerusi video di Facebooknya mendedahkan bagaimana Ramanan dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di kawasan Parlimen Sungai Buloh yang sepatutnya ditandingi penyandang, R.Sivarasa.

Pendedahan Rafizi itu susulan kekecohan di Konvensyen PKR Johor apabila ucapan Ramanan yang juga Naib Presiden PKR, disanggah secara terbuka oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim

Hassan mempertikaikan Ramanan yang menggunakan pentas konvensyen parti untuk menyerang Rafizi sehingga Menteri Sumber Manusia itu akhirnya menasihatkan Anwar supaya lain kali pilih baik-baik untuk melantik Menteri Ekonomi.

“Saya tak rasa apa pun. Serangan terhadap saya yang diatur bertali arus ini akan memakan diri. Jadi lagi banyak Ramanan buka mulut, sebenarnya lagi bagus.

Saya juga ucap terima kasih kepada Saudara Hassan Karim. Masih ada lagi beberapa orang dalam PKR sekarang yang faham tentang adab, jasa, sumbangan, perjuangan dan pengorbanan,” kata Rafizi.

Menurut Rafizi, rakyat menonton sendiri sikap bongkak Ramanan sehingga boleh menasihati secara terbuka seorang Perdana Menteri supaya jangan salah pilih Menteri Ekonomi. Maknanya, sebelum ini Datuk Seri Anwar telah buat silap kerana memilih saya menjadi Menteri Ekonomi.

“Dia mungkin rasa itu cuit manja dia dengan Anwar Ibrahim, tetapi orang ramai boleh menilai bahawa adab kebiasaannya bukan begitu. Ramanan berkelakuan demikian kerana dia cukup yakin pengaruhnya dengan Anwar Ibrahim,” katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, pada hari-hari terakhir sebelum pengumuman calon untuk PRU15, hanya tinggal satu kerusi yang tidak ada persetujuan antara beliau dengan Anwar iaitu Sungai Buloh.

“Saya tetap dengan pendirian antara dua nama iaitu Sivarasa Rasiah (penyandang ketika itu) dan Ramanan, Sivarasa adalah calon yang lebih baik dari segala aspek. Lagi pun Ramanan berkeras pada ketika itu tidak mahu mengisytiharkan harta, sedangkan calon-calon lain menghantar pengisytiharan harta.

Keadaan ini berlanjutan hingga ke hari pengumuman calon dan tidak selesai sehingga jam 6 petang, sedangkan majlis akan bermula jam 8 malam.

Dalam bilik Anwar di Bukit Gasing pada ketika itu, ada saya, Anwar  dan seorang teman rapat kami. Seboleh yang mungkin, bila berjumpa dengan Anwar dari dulu-dulu lagi, saya mahukan ada saksi supaya ceritanya tidak bertukar di kemudian hari.

Maka kejadian ini ada saksi. Saksi itu cukup rapat dengan saya dan Anwar Ibrahim,” katanya yang ketika itu tetap tidak berganjak dengab keputusan Jawatankuasa Calon bahawa Sivarasa adalah calon yang lebih sesuai dari segenap aspek.

“Akhirnya, Datuk Seri Anwar, dalam keadaan kami sama-sama duduk, memegang lutut saya dan merayu untuk lepaskan Ramanan jadi calon. Saya lihat matanya ada genangan air mata.

Jadi saya sebut kepada beliau: You ada the final say. I’ve done everything I can, tapi kalau you berkeras, that’s your decision. You don’t have to plead macam ni” kata Rafizi.

Katanya, Anwar tidak mahu beliau (Rafizi) buat kecoh susulan pemilihan Ramanan.

“Saya jawab balik: Akhirnya it’s your decision. Saya hanya minta Datuk Seri janji that this is as far as Ramanan will go in PKR and politics. You will not appoint him further in the party and kalau menang jadi kerajaan, you will not appoint him into the government.

Datuk Seri Anwar nampak lega dan bersetuju dengan janji-janji itu,” kata Rafizi yang turut memaklumkan gambar calon Sungai Buloh ketika itu masih gambar Sivarasa.

Menurut Rafizi, selepas membentuk kerajaan, walaupun Ramanan tidak dilantik, tetapi apabila ada saja rombakan pertama Ramanan terus dilantik menjadi Timbalan Menteri, sekitar akhir 2023.

“Jadi pada ketika itu pun saya tahu, ada hubungan istimewa di antara Dato’ Seri Anwar dengan Ramanan, sehingga Perdana Menteri sanggup melanggar janjinya sendiri kepada saya yang disaksikan oleh seorang lagi rakan baik kami berdua.

Saya juga sedar pada ketika itu bahawa banyak perkara yang kita mulanya ingat tidak menjadi titik perbezaan – contohnya soal Azam Baki, SPRM dan lain-lain – akan terus bermasalah, kerana cerita-cerita mengenai Farhash, Ramanan dan lain-lain mula kedengaran.

Kalau saya kongsi perkara ini sebelum Konvensyen PKR Johor, orang tidak percaya,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment