Putra ajak rakyat bantah harga minyak

SEPANG 2 April – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra),  Ibrahim Ali hari ini mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai himpunan aman membantah kenaikan harga minyak yang dijadualkan pada 5 April ini di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, perhimpunan mulai pukul 3 petang itu bagi membela diri dan rakyat dalam menghadapi isu kenaikan harga minyak.

Beliau berkata isu kenaikan harga minyak bukan bukan soal politik dan bukan sekadar soal ekonomi, tetapi telah menjadi isu maruah rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat.

“Kita tidak menyeru kepada kekacauan sebaliknya menyeru kepada keberanian, turun dengan aman, disiplin tetapi dengan mesej yang tidak boleh dipadam, cukup sampai di sini kami diperhambakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, kenaikan harga bahan api yang berlaku beberapa kali dalam tempoh singkat menimbulkan persoalan terhadap penjelasan kerajaan sebelum ini berkaitan kestabilan harga sehingga Mei berdasarkan stok lama.

“Rakyat melihat percanggahan dalam kenyataan kerajaan. Sebelum ini dikatakan negara mampu bertahan dengan stok lama, namun kenaikan tetap berlaku berulang kali,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut Ibrahim, kerajaan tidak lagi takut dengan suara rakyat di media sosial, atau rungutan di kedai kopi sebaliknya hanya akan takut jika rakyat turun dan berdiri sebagai satu kuasa dalam himpunan aman.

Katanya, 5 April bukan sekadar satu himpunan tetapi adalah garis pemisah antara rakyat yang masih ada harga diri dengan mereka yang sedang merancang tekanan seterusnya terhadap rakyat.

“Jika kamu tidak hadir, mesej yang kamu hantar sangat jelas, buatlah apa sahaja kepada aku, aku akan tetap diam” katanya.

Ibrahim turut membandingkan harga minyak Malaysia dengan jiran seperti Thailand dan Vietnam serta mempersoalkan mengapa rakyat di Semenanjung didakwa menanggung harga lebih tinggi berbanding Sabah dan Sarawak.

Nn

Related posts

Leave a Comment