IRAN mengisytiharkan tempoh berkabung awam selama 40 hari susulan kematian Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), pada Ahad.
Media rasmi melaporkan tempoh berkabung itu akan disertai dengan upacara penghormatan di seluruh negara, termasuk majlis doa, perhimpunan awam dan penghormatan rasmi oleh pemimpin politik serta ketenteraan.
Sepanjang tempoh tersebut, bendera negara akan dikibarkan separuh tiang di bangunan kerajaan, manakala program rasmi dan acara tertentu dijangka ditangguhkan sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin tertinggi berkenaan.
Pengumuman itu dibuat selepas media kerajaan mengesahkan Khamenei terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan politik dalaman negara itu.
Khamenei memegang jawatan Pemimpin Tertinggi sejak 1989 dan merupakan tokoh paling berkuasa dalam sistem pemerintahan Iran, dengan pengaruh langsung terhadap dasar politik, keselamatan dan ketenteraan negara tersebut.
Media Iran melaporkan, kematian pemimpin berusia 86 tahun itu susulan siri serangan besar-besaran yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan kepimpinan tertinggi negara tersebut.
Serangan bersama Israel dan AS itu dilaporkan menyasarkan pelbagai lokasi strategik di Iran, termasuk kawasan berkaitan kepimpinan tertinggi negara, dalam apa yang disifatkan sebagai operasi ketenteraan paling agresif dalam beberapa dekad.
Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump dan pegawai Israel turut mendakwa Khamenei terbunuh dalam serangan berkenaan, namun terdapat percanggahan maklumat apabila beberapa sumber Iran sebelum ini menafikan atau belum mengesahkan sepenuhnya laporan tersebut.
Nnnnn
