Noh Omar letak jawatan MPT Bersatu

SEPANG 13 Feb. – Kecewa dengan kegagalan parti mematuhi proses perlembagaan sendiri, Noh Omar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Noh berkata keputusannya dibuat selepas MPT parti dalam mesyuarat pada 12 Januari lalu memutuskan untuk menangguhkan semua tindakan disiplin, namun lembaga disiplin parti didakwa masih meneruskan tindakan terhadap ahli.

“Pada peringkat ini, saya ingin menyatakan rasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam Bersatu hari ini,” katanya menerusi video di media sosial.

Noh mempersoalkan tindakan disiplin yang masih diteruskan walaupun MPT telah membuat keputusan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada lembaga disiplin menghormati autoriti badan pembuat keputusan tertinggi parti.

“MPT telah memutuskan supaya semua tindakan disiplin ditangguhkan. Persoalannya, mengapa lembaga disiplin masih meneruskan tindakan? Adakah lembaga disiplin tidak menghormati keputusan MPT,” katanya.

Pada masa sama sebuah jawatankuasa pengukuhan parti ditubuhkan diketuai Rais Yatim tetapi sebelum dapat dilaksanakan rancangan mengembalikan perpaduan parti, lembaga disiplin telah mengambil tindakan keatas ahli-ahli.

Noh juga mempersoalkan tindakan disiplin yang diambil terhadap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan keadilan dalam parti.

Katanya, beliau secara peribadi menasihati Saifuddin supaya tidak meneruskan program jelajah yang dirancang di Pahang, dan Saifuddin bersetuju serta membatalkan program itu.

“Saya faham niat beliau, tetapi saya menasihatinya supaya tidak meneruskan jelajah itu. Beliau menghormati nasihat itu dan membatalkan program.

“Malangnya, Datuk Seri Saifuddin telah dipecat. Pada ketika itu, kami masih belum benar-benar jelas mengenai hala tuju berkaitan tindakan disiplin,” katanya.

Noh berkata tindakan disiplin sepatutnya mengambil kira tempoh masa sesuatu peristiwa serta semangat perpaduan parti, sambil menekankan bahawa keputusan tidak boleh dilihat sebagai terpilih atau bercanggah.

Beliau berkata tindakan disiplin hanya wajar diambil terhadap ahli yang melanggar keputusan parti yang dibuat selepas mesyuarat pada Januari itu, bukannya terhadap mereka yang membuat kenyataan sebelum itu.

“Dua isu yang mesti difahami dengan jelas. Bagi mereka yang didakwa melanggar disiplin parti sebelum 12 Januari (keputusan MPT), kita telah ‘menutup buku’.

“Bagaimanapun, jika ada ahli yang membuat kenyataan selepas keputusan itu, maka saya bersetuju tindakan boleh diambil kerana melanggar arahan MPT,” katanya.

Noh berkata tindakan disiplin mesti sentiasa dilaksanakan selaras dengan perlembagaan dan peraturan parti.

“Itu prinsip saya. Tiada siapa mengatasi undang-undang. Semua terikat dengan perlembagaan dan peraturan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment