KD Maharajalela ditauliahkan Disember

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharajalela dijangka dapat ditauliahkan pada Disember tahun ini, lewat empat bulan berbanding jadual asalnya pada Ogos, kata Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, kapal itu akan melakukan ‘sea-going’ atau pelayaran pertamanya hari ini untuk menguji sistem jentera, jana kuasa, sistem pendingin hawa dan sistem ‘propulsion’ (pendorong).

Katanya , ia penting sebagai proses permulaan memastikan LCS 1 berkeupayaan untuk belayar di lautan selepas kapal itu memulakan fasa ujian laut di peringkat limbungan sejak 20 Januari lalu.

Sementara itu, katanya persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan LCS 1 menjalani percubaan di laut secara penuh yang dijangka dimulakan awal April depan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai status prestasi LC1 KD Maharajalela, serta sama ada kapal itu akan dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos 2026.

Berdasarkan maklumat dari Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), katanya kemajuan semasa bagi LCS 1 adalah 82.9 peratus, berbanding 96.52 peratus seperti yang dirancang.

Kemajuan projek pembinaan kapal itu meliputi pembinaan struktur kapal, pemasangan peralatan utama dan integrasi sistem kapal.

Katanya, walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, kementerian dimaklumkan bahawa kapal LCS 1 berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal

Mohamed Khaled berkata, sehingga 25 Disember 2025, LUNAS memaklumkan kemajuan keseluruhan projek LCS mencapai 75.75 peratus, berbanding 81.57 peratus seperti dirancang.

Katanya, bagi pentauliahan LCS 2 pula, ia ditunda kepada Ogos 2027, manakala bagi kapal berikutnya, ia kekal pada jadual asal, iaitu LCS 3 (Disember 2027), LCS 4 (Ogos 2028) dan LCS 5 (April 2029).

Dari segi kos, Mohamed Khaled memaklumkan, nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM11.2 bilion untuk kelima-lima kapal, dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion, 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Katanya , dalam emastikan ketelusan dan kawal selia yang berterusan, Kementerian Pertahanan mewujudkan pelbagai platform pemantauan, seperti Kajian Pengurusan Projek (PMR), Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) dan Jawatankuasa Teknikal yang bersidang secara berkala, dengan pembabitan menyeluruh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pengguna akhir dan pihak LUNAS.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham sama ada percubaan di laut oleh LCS 1 mengikut standard antarabangsa, Mohamed Khaled berkata beliau yakin aset berkenaan akan mengikut standard pertahanan ditetapkan apabila percubaan di laut sepenuhnya dilaksanakan.

“Ini adalah kapal tempur pesisir, kapal perang. Kita memang mahu supaya kapal yang diserahkan itu nanti dalam keadaan selamat, mematuhi spesifikasi dan mencapai tahap kesiagaan operasi yang ditetapkan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment