KUALA LUMPUR 13 Jan. – Tiada sesiapa boleh menafikan peranan dan jasa UMNO dalam mencorakkan agama Islam di negara ini, yang bermula sejak 1957 sehingga 2018 iaitu sehingga UMNO tidak lagi berkuasa.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO ditubuhkan bukan sekadar untuk menentang Malayan Union dan memperoleh kemerdekaan bahkan bagi membangunkan semula jati diri yang terhakis akibat penjajahan.
“Tiada sesiapa boleh menafikan peranan UMNO dalam melakar dan mencorakkan Islam di tanah air kita. Bermula dengan perjuangan UMNO untuk memahatkan asas penting yang menjadi akar kepada pembangunan Islam dan rakyat di negara ini.
“Bermula daripada 1957 tidak ada yang boleh menafikan bagaimana proses pembangunan agama Islam dan ummah berlaku secara berperingkat, bermula dengan memastikan orang Melayu mempunyai kekuatan dari segi ekonomi.
“Ketika itu jugalah idea-idea pengembangan institusi kewangan dan perbankan Islam,” katanya ketika menyampaikan ucaptama ‘Islam Sebagai Teras Perjuangan Melayu’ sempena Multaqa Ilmuan Islam Malaysia yang dianjurkan oleh Majlis Ulama UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Beliau berkata, di akhir-akhir era penjajahan apabila UMNO ditubuhkan, ia bukan ditubuhkan sekadar sebagai sebuah parti untuk melawan Malayan Union sahaja. UMNO adalah sebuah parti yang satu-satunya tidak menggunakan frasa ‘parti’ pada pangkal nama UMNO itu sendiri.
“Ini kerana ia menggambarkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, mewakili citra dan aspirasi orang Melayu yang mahu membangunkan kembali jati diri nan terhakis dek penjajah … yang berjaya meragut, mencairkan pemikiran, identiti Islam dan kemelayuan.
Sebab itulah apabila kita bercakap tentang soal pembangunan Islam di Malaysia, kita tidak boleh bersifat ekstrem ataupun jumud dalam erti kata tidak mahu melihat rangka-rangka ilmu dan juga bersifat objektif dalam menilai soal pembangunan Islam ini,” katanya.
Jelasnya, UMNO memulakan proses pembangunan agama Islam dan bangsa Melayu dengan memastikan ekonomi diperkukuhkan.
Nnnn
