MELAKA 12 Jan. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh akan akur dengan keputusan dibuat Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukan jawatan yang disandangnya ketika ini.
Katanya, ini kerana kedua-dua pihak terbabit sebelum ini memilih beliau bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dilantik sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
“Insya-Allah, kita tunggulah… sebab apapun saya percaya, kuasa Ketua Menteri Melaka adalah kuasa beliau memilih saya sebagai Exco, maka saya perlu akur dan ikut apa yang diperkatakan.
“Presiden (UMNO) pula memilih saya mewakili parti bertanding pada pilihan raya (negeri), jadi dua insan ini yang perlu saya dapatkan persetujuan dan pandangan sebelum saya umum apa-apa,” katanya di luar Pusat Mediasi Mahkamah Melaka di sini hari ini.
Beliau menghadiri proses mediasi itu susulan kes saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadapnya tahun lalu.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal, dalam satu hantaran di laman sosial Facebook berkata hasrat dan isi hatinya sudah diluahkan kepada Ab Rauf di Pejabat Ketua Menteri petang ini.
Beliau berkata, Ab Rauf adalah individu bertanggungjawab memperkenalkan perjuangan UMNO kepada dirinya sejak beliau menjadi pemimpin mahasiswa dan banyak mengajarnya mengenai dunia kepimpinan serta perjuangan.
“Terima kasih bang, jasa dan ilmu yang abang berikan tidak mampu saya balas satu persatu. Saya berbangga dapat berkhidmat bersama,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan disandangnya ketika ini selepas gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.
Nnnn
