Warisan sertai PRK Kinabatangan, Lamag

KINABATANGAN 5 Jan. –  Parti Warisan turut menamakan calonnya untuk menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan pada 24 Januari.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau,  Saddi Abdul Rahman diumumkan sebagai calon Warisan bagi Parlimen Kinabatangan manakala Mazliwati Abdul Malek sebagai calon bagi DUN Lamag.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking ketika mengumumkan pencalonan itu hari ini berkata pemilihan mereka dipersetujui berikutan kedua-duanya lebih memahami keperluan rakyat di kawasan berkenaan, selain memiliki pengalaman luas.

Katanya, Mazliwati yang pernah bertanding di Kinabatangan berpengalaman dan mampu membicarakan isu berkaitan dengan sistem pentadbiran negeri sekali gus mampu bersuara lantang untuk mengangkat kepentingan rakyat Lamag pada sidang DUN.

“Saddi pula akan menggunakan pengalamannya selama 12 tahun sebagai wakil rakyat untuk menjadikan Dewan Rakyat sebagai pentas membahaskan hak Sabah di peringkat Persekutuan,” katanya.

Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya, Bung Moktar Radin yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK itu pada 24 Januari ini, manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari ini.

Related posts

Leave a Comment