Tidak tadbir tetapi ‘kuarantin minyak’

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) tidak akan mentadbir Venezuela secara harian, sebaliknya, akan terus menguatkuasakan “kuarantin minyak” yang sedia ada ke atas negara itu, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio.

Kenyataan menerusi program bual bicara televisyen dilihat cuba meredakan kebimbangan bahawa tindakan agresif untuk mencapai pertukaran rejim di Venezuela akan membawa AS campur tangan asing berpanjangan atau percubaan membina semula negara yang gagal.

Ini berbeza dengan kenyataan Presiden Danald Trump yang lebih umum dan kabur bahawa AS akan “mentadbir” negara pengeluar minyak itu buat sementara waktu.

Rubio menjelaskan, AS akan terus menguatkuasakan kuarantin minyak yang dikenakan ke atas kapal tangki yang disekat sebelum Maduro digulingkan awal Sabtu dan menggunakan langkah itu sebagai tekanan untuk perubahan dasar di Venezuela.

“Itulah maksud kawalan yang dimaksudkan Presiden. Kami teruskan kuarantin itu dan kami mahu lihat perubahan bukan sahaja dalam cara industri minyak diurus untuk rakyat, tetapi juga supaya mereka hentikan pengedaran dadah.” kata Rubio kepada CBS Face the Nation.

Beliau menambah, sekatan ke atas kapal tangki minyak yang disenarai hitam — sebahagiannya telah dirampas AS — “kekal berkuat kuasa, dan itu adalah pengaruh besar yang akan digunakan sehingga kami lihat perubahan yang bukan sahaja mengutamakan kepentingan nasional AS, tetapi juga membawa masa depan lebih baik untuk rakyat Venezuela.”

Pemimpin Venezuela setakat ini menolak tekanan tersebut secara terbuka, sambil mendesak pentadbiran Trump membebaskan Maduro.

Sebelum operasi menahan Maduro, pakar undang-undang antarabangsa sudah mempersoalkan kesahihan sebahagian tindakan pentadbiran AS terhadap Venezuela termasuk pengeboman bot yang didakwa terlibat dalam pengedaran dadah – yang menurut sesetengah sarjana melampaui batas undang-undang antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment