Pemuda tolak ‘rampas kuasa, tebuk atap’

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Pergerakan Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan kerajaan yang sedang memimpin negara ini tumbang, kata Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sebaliknya kata Dr Muhamad Akmal, UMNO digesa menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang yang bermaruah, berwibawa dan berprinsip daripada berada di dalam kerajaan tanpa harga diri.

“Kita tidak mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang. Kita tidak mahu merampas kuasa melalui helah. Kita mahu UMNO menang kembali dengan mandat rakyat, bukan dengan muslihat politik. Ini jelas dan tiada kompromi!!” tegasnya.

Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini, beliau menegaskan, jika UMNO menarik diri, Kerajaan Perpaduan tidak akan runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.

“Biarlah kita setapak ke belakang untuk melihat jauh pada masa akan datang. Ahli Parlimen yang hadir ini takutkah menjadi Ahli Parlimen pembangkang?

Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini… kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya.

Dr Muhamad Akmal p berkata, UMNO tidak boleh terus berada dalam sebuah kerajaan yang menuntut parti Melayu itu menelan penghinaan dan memejam mata terhadap pencabulan maruah.

“Saya sendiri pernah bagi amaran, sekiranya ‘red line’ ini dilanggar, Pemuda UMNO akan lawan dan tentang habis-habisan! Maka hari ini, kebiadaban ini wajib kita hentikan,” katanyq.

Beliau berkata, selama tiga tahun, UMNO bukan sekadar melengkapkan angka sebaliknya bekerja dan menyumbang kepada negara.

“Malah Saudara Rafizi Ramli sendiri mengakui, menteri-menteri UMNO adalah antara yang paling berprestasi dalam kerajaan.

“Tetapi apabila prinsip kerjasama ini mula dicabuli, apabila maruah dan garis perjuangan tidak lagi dihormati, maka biarlah mereka teruskan urusan pentadbiran kerajaan tanpa UMNO,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment