Jepun mahu hidupkan semula loji nuklear

NIIGATA – Satu tinjauan menunjukkan kira-kira 60 peratus penduduk Niigata menentang cadangan Jepun untuk menghidupkan semula Loji Kuasa Nuklear Kashiwazaki-Kariwa, loji nuklear terbesar di dunia dari segi kapasiti.

Penduduk bimbang risiko keselamatan dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan serta alam sekitar susulan hasrat itu yang menandakan perubahan besar dalam dasar tenaga negara itu selepas tragedi Fukushima pada 2011.

Loji yang terletak di Wilayah Niigata ini dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Company (TEPCO), syarikat yang sama menguruskan loji Fukushima Daiichi yang lumpuh akibat gempa bumi dan tsunami dahsyat.

Sebagai usaha mendapatkan sokongan, TEPCO dilaporkan telah menjanjikan pelaburan besar dalam komuniti setempat.

Kashiwazaki-Kariwa mempunyai tujuh reaktor dan mampu menjana sehingga 8.2 gigawatt tenaga, cukup untuk membekalkan elektrik kepada lebih 13 juta rumah.

Menurut laporan, TEPCO merancang untuk menghidupkan semula Unit 6 seawal Januari 2026 selepas mendapat kelulusan daripada Gabenor Niigata pada November lalu.

Ini akan menjadi kali pertama TEPCO mengoperasikan semula loji nuklear sejak insiden Fukushima, yang telah mencetuskan kebimbangan global terhadap keselamatan tenaga nuklear.

Pihak berkuasa Jepun menegaskan bahawa langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil dan meningkatkan keselamatan tenaga, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

“Pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga Jepun tidak dapat dicapai tanpa tenaga nuklear,” kata seorang pegawai kanan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

Kashiwazaki-Kariwa sebelum ini turut ditutup sementara pada 2007 selepas gempa bumi, walaupun tiada kerosakan besar dilaporkan pada reaktor.

Sejak itu, pelbagai penambahbaikan keselamatan telah dilakukan, termasuk sistem penyejukan kecemasan dan perlindungan gempa bumi yang lebih canggih.

Walaupun loji ini dijangka memainkan peranan penting dalam strategi tenaga Jepun, kebimbangan terhadap ketelusan, pengurusan risiko, dan kepercayaan terhadap TEPCO masih menjadi cabaran utama.

Nnn

Related posts

Leave a Comment