Bung Moktar pesan anaknya diberi peluang

SEREMBAN 20 Dis. – Allahyarham Bung Moktar Radin pernah berpesan supaya anaknya, Naim Kurniawan diberi peluang meneruskan khidmat bakti di kawasan Kinabatangan jika sesuatu berlaku kepada dirinya.

Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan, berkata pesanan itu dititip Allahyarham kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara pesanan terakhir Bung Moktar Radin ialah agar anaknya diberi peluang meneruskan khidmat bakti di kawasan jika sesuatu berlaku kepada dirinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana, di Taman Pinggiran Senawang, di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan Naim Kurniawan sebagai menjadi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang dijadualkan pada 24 Januari depan.

Mohamad yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau, berkata pemilihan Naim Kurniawan bakal memberi kelebihan kepada BN mengekalkan kerusi terbabit.

“Allahyarham Bung Moktar mendedahkan anaknya kepada gerak kerja kawasan sejak awal, termasuk menguruskan Parlimen ketika beliau berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen.

“Dalam tempoh itu, Naim juga sering menjalankan tugas di kawasan dan menjadi penggerak utama. Justeru, beliau bukan asing lagi kepada pengundi Kinabatangan,” katanya

Mohamad berkata, memberi laluan kepada anak arwah adalah satu penghormatan terhadap jasa Bung Moktar kepada parti dan rakyat Kinabatangan.

“Kita mahu kesinambungan gerak kerja parti diteruskan. Selain itu, kita dapat turunkan anak muda supaya mereka didedahkan dalam keadan sudah tahu selok-belok gerak kerja di Kinabatangan.

“Kawasan Parlimen ini besarnya sama dengan Pahang, jadi kita perlukan calon yang tahu selok-beloknya dan bertenaga,” katanya.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Disember.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.

Nnn

Related posts

Leave a Comment