ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 10 orang di Semenanjung Gaza meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu akibat hujan lebat, ketika ribuan keluarga berlindung di dalam khemah dengan perlindungan amat terhad terhadap musim sejuk.
Justeru Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran menerusi media sosial mengenai kemungkinan peningkatan jangkitan pernafasan akut, influenza, selain hepatitis dan cirit-birit.
Ini berikutan pendedahan berterusan penduduk kepada cuaca buruk, bekalan air dan sanitasi yang tidak mencukupi, serta keadaan tempat tinggal yang sesak
Beliau berkata, WHO terus berdepan halangan dalam usaha menghantar reagen makmal dan peralatan diagnostik ke Gaza, sambil memaklumkan bahawa banyak bekalan dinafikan kemasukan selepas diklasifikasikan sebagai barangan dwiguna.
Tedros menggesa kemasukan segera bahan-bahan penting berkenaan, dengan menegaskan ia kritikal bagi pengesanan awal, tindak balas dan rawatan tepat pada masanya terhadap penduduk yang berdepan risiko penularan penyakit di wilayah itu.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 70,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain, meskipun gencatan senjata diumumkan.
Tentera Israel dilaporkan berulang kali melanggar gencatan senjata itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 386 rakyat Palestin dan mencederakan 1,018 yang lain sejak perjanjian berkenaan berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Nnnn
