Calon PKR di DUN Silam tarik diri

KOTA KINABALU 17 Nov. – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 pada 29 November ini.

DUN Silam menyaksikan pertandingan sembilan penjuru yang turut melibatkan pertembungan GRS-PH-BN walaupun GRS-PH dan PH-BN menjalinkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya ini.

Abdul Halim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan teliti bersama kepemimpinan tertinggi PH dan dibuat sepenuhnya atas kehendak peribadi tanpa sebarang tekanan atau perundingan daripada mana-mana pihak luar.

“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang demi menjaga hubungan baik dan keharmonian bersama-sama rakan kerjasama parti yang lain.

Saya percaya bahawa perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti yang lain adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri kita.

“Walaupun saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, saya tetap komited dan akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan Silam khususnya, dan Lahad Datu amnya, akan sentiasa terjaga dan terbela,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Abdul Halim untuk menarik diri dan menghormati keputusan itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.

“Kami menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan PKR Sabah dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

“Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu beliau sumbangkan,” katanya.

Mustapha juga berkata seluruh jentera serta penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya diseru agar kekal tenang, fokus selain terus memperkukuh perpaduan demi memastikan kemenangan gabungan dan masa depan rakyat Sabah.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, DUN Silam menyaksikan pertandingan sembilan penjuru termasuk GRS dan BN.

Kerusi DUN Silam sebelum ini disandang oleh Dumi Pg Masdal daripada Warisan yang menang dengan majoriti 1,542 undi dalam pertandingan enam penjuru melibatkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), PCS, USNO, PN dan PPRS.

Susulan penarikan diri Abdul Halim, calon yang akan bertanding di kerusi ini adalah Sharif Musa Sharif Mabul (BN-UMNO), Mizma Appehdullah (GRS-Gagasan Rakyat),  Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN-Bersatu), Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas), Mohammad Enriquez (SPP), Brahim Bisel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment