KUALA LUMPUR 30 Okt. – Ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak bersikap ‘lebih Hamas dari Hamas’ dan ‘lebih China dari China’ dalam mentafsirkan langkah kerajaan menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara luar.
Anwar Ibrahim ketika mengingatkan demikian mendakwa , pembangkang cuba menanam kebencian sehingga ada yang menyalahtafsirkan peruntukan tertentu dalam perjanjian perdagangan dengan negara luar.
Perdana Menteri berkata, ini termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Katanya, jika dibiarkan, beliau bimbang ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara tertentu.
“Perjanjian perdagangan timbal balas dijelaskan semalam oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan masih ada ruang berdebat selepas ini. Sebab itu Menteri MITI cabar (tanya) peruntukan (yang) mana?
Jadi kita (pula) jadi ‘lebih Hamas dari Hamas’, ‘lebih China dari China’. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu saja. Saya akan teliti dulu undang-undangnya, teliti peruntukannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang memohon penjelasan daripada Perdana Menteri sama ada perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dengan AS mempunyai unsur yang boleh menyebabkan tergadai maruah dan kedaulatan negara.
Anwar menjelaskan kerajaan juga bersetuju supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia membuat pembelian daripada AS di bawah perjanjian perdagangan baharu.
Berhubung komitmen yang diperlukan daripada Malaysia untuk membeli barangan AS berjumlah lebih RM1 trilion, beliau menegaskan ia bukan membabitkan ‘wang’ kerajaan, sebaliknya pembelian dilakukan oleh GLC.
Contohnya, Malaysia Airlines (MAS), menurut beliau k syarikat itu membeli 30 pesawat dari Airbus dan 30 lagi dari Boeing sambil menegaskan bahawa rancangan pembelian itu sudah lama dibuat.
“Bukan saya order (pesan pesawat berkenaan). Ini (dilakukan) MAS. Begitu juga tentang pesanan daripada Google, Microsoft. Ini bukan kerajaan.
“Begitu juga import gas. Gas asli cecair (LNG) dari Petronas, tentu Petronas jelaskan dan ia tentunya bukan baru (berlaku). Ia satu kejayaan besar pelaburan cari gali Petronas di Kanada yang dikutuk dulunya kononnya kita jual .Itu pun satu penipuan tetapi tidak berlaku. Sekarang berhasil.
“Kehadiran Perdana Menteri Kanada antara lain untuk menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana PETRONAS berjaya di Kanada. Hasilnya besar,” katanya.
Nnnn
