BAITULMUQADDIS – Hamas memberi kata dua kepada Israel bahawa pasukannya tidak akan meletakkan senjata atau memulangkan mayat tebusan sepenuhnya selagi tentera zionis itu masih beroperasi di dalam Semenanjung Gaza.
Dalam kenyataannya, ketua perunding Hamas, Khalil Al-Hayya, berkata isu pelucutan senjata kumpulan itu ‘berkait rapat dengan kewujudan penjajahan dan pencerobohan’.
“Sekiranya penjajahan (Israel) berakhir, senjata ini (Hamas) akan diserahkan kepada negara,” katanya sambil menegaskan komitmen Hamas memulangkan baki 13 mayat tebusan, termasuk 10 warga Israel yang diculik semasa serangan 7 Oktober 2023.
Antaranya termasuk seorang warga Israel yang hilang sejak 2014, serta masing-masing seorang pekerja dari Thailand dan Tanzania.
Setakat ini, Hamas sudah memulangkan 20 tebusan yang masih hidup dan 15 mayat tebusan kepada pihak Israel, namun kumpulan itu mengakui mereka berdepan kesukaran untuk mencari baki mayat lain.
Ini kerana ia dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di Gaza, di mana lebih 68,500 penduduk Palestin turut terbunuh akibat serangan Israel sepanjang dua tahun peperangan.
Agensi bantuan kemanusiaan pula mengadu bahawa konvoi bantuan masih tidak mendapat akses mencukupi ke Gaza bagi menangani kebuluran di beberapa kawasan, menyebabkan ramai keluarga terus berdepan kelaparan.
Tentera Israel dilaporkan telah berundur ke kawasan yang digelar ‘Garis Kuning’, namun masih menguasai lebih separuh wilayah Gaza, meluluskan setiap konvoi bantuan PBB yang melalui sempadannya.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga melancarkan sekurang-kurangnya dua serangan sejak gencatan senjata dimeterai, sekali gus mengancam gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas.
Sementara itu, puak-puak utama Palestin termasuk Hamas bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknokrat bagi mentadbir Gaza sejajar dengan pelaksanaan gencatan senjata dan usaha pemulihan semula wilayah berkenaan.
Nnnn
