DUBLIN – Calon Bebas berhaluan kiri, Catherine Connolly dipilih sebagai presiden baharu Ireland selepas mencatatkan kemenangan besar beliau ke atas calon yang disokong kerajaan, Heather Humphreys.
Connolly, 68 wanita dari Galway itu memperoleh 914,143 undi atau 63 peratus undi dengan kemenangan besar di beberapa kawasan pilihan raya termasuk Dublin, Galway, Donegal, Clare, Meath dan Waterford serta Donegal.
Presiden ke-10 yang menjadi ahli parlimen sejak 2016 itu menewaskan Humphreys calon gabungan pemerintah Fine Gael-Fianna Fail yang memperoleh 29 peratus manakala calon menarik diri Jim Gavin mendapat 7 peratus.
Kemenangan Connolly menandakan kali pertama dalam sejarah moden Ireland seorang calon berhaluan kiri memenangi jawatan presiden melalui undi pilihan pertama, sekali gus memberi tamparan hebat kepada gabungan Fine Gael-Fianna Fail.
Dalam pada itu, penyelaras kebangsaan kempen Belia untuk Connolly, Aoife McGowan, berkata ahli parlimen dari Galway itu telah memberi inspirasi kepada generasi baharu pengundi.
Katanya, ramai pelajar teruja turun padang untuk bercakap mengenai pencalonan Catherine di mana beliau mempunyai visi untuk Ireland yang baharu dan lebih progresif.
McGowan berkata sokongan lantang Connolly terhadap hak rakyat Palestin turut memainkan “peranan besar” dalam menggerakkan pengundi muda.
