WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melakukan lawatan rasmi ke China pada awal tahun depan selepas menerima jemputan daripada kerajaan Beijing.
Bercakap kepada wartawan di White House, di sini, pada Isnin, Trump berkata, tarikh lawatan hampir dimuktamadkan.
Sebelum lawatan itu, Trump akan bertemu Presiden China, Xi Jinping di Korea Selatan hujung bulan ini bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan yang disifatkannya sebagai “adil”, walaupun hubungan kedua-dua negara baru-baru ini tegang susulan pertikaian tarif.
Minggu lalu, ketegangan antara Washington dan Beijing hampir mencetuskan semula perang perdagangan apabila China mengumumkan sekatan baharu terhadap eksport unsur nadir bumi, manakala Trump pula mengugut menaikkan tarif barangan China sehingga 100 peratus.
Ketika hubungan kedua-dua negara berada di tahap terendah, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menuduh China “mengacukan bazuka ke arah rantaian bekalan dan asas perindustrian dunia bebas.”
Bagaimanapun pada Isnin, Trump mengambil nada lebih lunak dengan menegaskan kedua-dua negara perlu “maju bersama” serta menyeru China membeli semula kacang soya dari AS – antara komoditi paling terjejas akibat perang perdagangan sebelum ini sekali gus meningkatkan harapan pasaran.
Trump juga menzahirkan keyakinan terhadap hubungannya dengan Xi, walaupun laporan Pentagon sebelum ini mendakwa China merancang untuk menawan Taiwan menjelang 2027.
“Saya fikir hubungan kita dengan China baik-baik saja. China tidak akan berbuat begitu,” katanya semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Trump mengakui Taiwan kekal sebagai “buah hati” kepada Xi, namun menegaskan, Beijing tidak akan berani bertindak kerana menyedari kekuatan ketenteraan AS.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan penggunaan kekerasan bagi mengembalikan pulau itu di bawah kawalan Beijing.
Tentera China secara berkala menghantar jet pejuang dan kapal perang ke sekitar ruang udara serta perairan Taiwan, selain menganjurkan latihan berskala besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun kebanyakan negara termasuk AS tidak mengiktiraf Taiwan sebagai negara berdaulat, Washington kekal sebagai penyokong utama demokrasi dan pusat teknologi itu.
Mnnn
