PUTRAJAYA 20 Okt. – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat bagi menyusun semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata beliau mengadakan pertemuan dan diberi taklimat bersama pasukan sokongan psikososial yang sedang melaksanakan intervensi krisis bagi membantu warga sekolah yang terjejas selepas beberapa insiden untuk mendukung sokongan kesihatan mental.
Menerusi Facebooknya, beliau berkata beberapa perbincangan dengan pasukan KPM turut diadakan terkait usaha tambah baik aspek keselamatan di sekolah dan disiplin anak-anak sebagaimana keputusan jemaah Menteri.
“Beberapa insiden yang berlaku lewat ini menuntut kita untuk bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memperbaiki kelompongan yang ada demi memastikan keselamatan anak-anak, para guru dan seluruh warga pendidikan.
Insyaallah saya akan umumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat,” katanya.
Jumaat lalu, Kabinet menyarankan tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan larangan itu bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.
Jemaah Menteri turut menyarankan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkat pemantauan keselamatan di sekolah.
Selain itu, Jemaah Menteri juga mencadangkan kandungan pendidikan ditambah baik dengan sokongan daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengawal, menerap nilai murni serta akhlak dalam kalangan pelajar.
Nnnnnn
