Komitmen lulus RUU ‘Sekat Bom’

WASHINGTON – Hampir 50 Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menunjukkan komitmen untuk meneruskan usaha meluluskan rang undang-undang (RUU) ‘Block the Bombs’ atau ‘Sekat Bom’, bagi menyekat penghantaran senjata AS kepada Israel sehingga pelanggaran hak asasi manusia di Gaza dihentikan sepenuhnya.

RUU ‘Block the Bombs Act (H.R. 3565)’, itu turut disokong oleh Congressional Progressive Caucus, kumpulan terbesar dalam Dewan Perwakilan AS.

Ia menyasarkan senjata paling dahsyat seperti bom BLU-109, peluru berpandu JDAM, peluru meriam 155mm, dan peluru kereta kebal 120mm.

Ketua Progressive Caucus, Greg Casar, berkata AS tidak boleh terus menghantar bom yang diketahui akan digunakan untuk melakukan kekejaman di Gaza.

Delia Ramirez, penaja utama RUU itu, menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah minimum yang perlu diambil oleh Kongres.

“Block the Bombs ialah langkah pertama ke arah pengawasan dan tanggungjawab terhadap pembunuhan kanak-kanak menggunakan senjata buatan AS yang dibiayai oleh pembayar cukai,” katanya.

RUU ini tidak menjejaskan sistem pertahanan seperti Iron Dome, tetapi menekankan keperluan untuk menghentikan sokongan terhadap senjata yang digunakan dalam serangan di Gaza,” katanya.

Ia turut menerima sokongan daripada pertubuhan seperti New Jewish Narrative, yang menyatakan bahawa sokongan terhadap RUU itu adalah lebih bermanfaat untuk keselamatan Israel berbanding meneruskan perang tanpa henti.

Langkah itu disyorkan ketika kebimbangan global semakin meningkat terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, termasuk kebuluran dan kematian akibat penyakit yang boleh dicegah.

Related posts

Leave a Comment