GAZA – Bayi pramatang dan yang baru lahir di Semenanjung Gaza kini berjuang untuk terus hidup dalam keadaan serba kekurangan berikutan kekurangan bekalan ubat-ubatan akibat penutupan lintasan sempadan oleh Israel.
Mereka menghadapi kesukaran bernafas berikutan kekurangan bekalan ubat dan berdepan risiko kematian dan krisis kesihatan yang serius.
Unit rawatan rapi bayi Hospital Al-Tahrir di Kompleks Perubatan Nasser, selatan Gaza menjadi simbol jelas malapetaka itu apabila sebuah video memaparkan suasana memilukan keluarga yang tidur di lantai bersama bayi mereka di unit rawatan luaran Hospital Al-Tahrir.
Keadaan kesihatan mereka merosot akibat majoriti mengalami kesukaran bernafas dan kesesakan.
Dalam beberapa kes, tiga bayi terpaksa berkongsi satu katil untuk menerima rawatan, yang sangat terbatas akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan.
Unit rawatan dalaman juga penuh sesak dengan bayi pramatang dan bayi baru lahir yang mengalami kesukaran bernafas.
Pengarah hospital, Dr Ahmed Al-Farra, berkata Gaza kini sedang berdepan gelombang serius bronkitis.
Katanya, kawasan itu penuh sesak dengan bayi di bawah usia sebulan yang mengalami kesukaran bernafas dalam keadaan kemanusiaan dan kesihatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kanak-kanak dan bayi tidur di lantai. Ada yang tidak dapat tilam untuk baring, sebaliknya hanya menggunakan selimut. Ada juga yang tidur terus di atas lantai.
“Disebabkan kesesakan, doktor dan jururawat terpaksa menempatkan tiga kanak-kanak dalam satu katil walaupun berisiko dijangkiti kerana kekurangan katil,” katanya.
Bekalan oksigen hanya diberikan kepada kanak-kanak yang mengalami kesukaran bernafas berdasarkan keutamaan kerana bekalan yang terhad manakala bayi
pramatang berdepan krisis kesihatan akibat ketiadaan inkubator dan bekalan perubatan.
Al-Farra berkata, ada juga bayi mengalami kegagalan bernafas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, Al-Farra turut menggesa ‘penghentian pembunuhan beramai-ramai oleh Israel’ serta pengoperasian semula hospital, khususnya unit rawatan bayi bagi menampung jumlah pesakit kanak-kanak yang besar.
Sejak bermulanya genosid pada 7 Oktober 2023, tentera Israel dengan sengaja menyasarkan sektor kesihatan secara langsung melalui pengeboman yang memusnahkan atau melumpuhkan 38 hospital, 96 pusat kesihatan dan 197 ambulans.
Tindakan itu disertai sekatan lebih ketat bermula 2 Mac lalu sehingga menghalang kemasukan bantuan perubatan, kemanusiaan dan makanan ke Semenanjung Gaza kecuali dalam jumlah yang sangat terhad, sekali gus semakin memburukkan kemerosotan sektor kesihatan dan penderitaan pesakit.
Hospital di Gaza merekodkan 2,142,000 kes penyakit berjangkit dan 71,338 kes hepatitis sejak bermulanya genosid.
Nnnn
