WASHINGTON – Donald Trump, mengeluarkan amaran terakhir kepada Hamas untuk menerima perjanjian membebaskan tebusan di Gaza selepas mendakwa Israel menerima syarat Presiden Amerka Syarijat itu.
“Kini masanya Hamas juga menerima. Saya sudah memberi amaran kepada Hamas mengenai akibatnya jika mereka enggan menerima. Ini adalah amaran terakhir saya,” tegas Trump di laman media sosial.
Hamas bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk segera duduk di meja rundingan selepas menerima beberapa idea daripada pihak AS bagi mencapai persetujuan gencatan senjata.
Awal Mac lalu, Trump pernah mengeluarkan amaran terakhir serupa kepada Hamas yang menuntut kumpulan itu membebaskan semua baki tebusan dengan segera serta menyerahkan mayat tebusan terbunuh.
Beliau juga memberi amaran sekiranya Hamas gagal capai kata sepakat, maka ‘segalanya akan berakhir’ bagi kumpulan pejuang itu.
Kumpulan kempen Israel, ‘Hostages and Missing Families Forum’, menyambut baik campur tangan terbaru Trump itu dan menganggapnya sebagai satu kejayaan sebenar.
Hamas menculik 251 orang ketika serangan besar-besaran pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, dengan 47 daripadanya masih dipercayai berada di Gaza manakala Israel mendakwa 25 daripada mereka sudah meninggal dunia dan pihaknya sedang berusaha mendapatkan semula jasad mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan bahawa pihak tentera sedang memperhebatkan serangan ke atas pusat bandar utama itu.
Semalam; Netanyahu berkata, kira-kira 100,000 penduduk sudah meninggalkan Bandar Gaza, sambil menuduh Hamas cuba menghalang pemindahan serta menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
