WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) tidak akan membenarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, ke New York bulan depan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata Abbas dan kira-kira 80 rakyat Palestin lain juga akan terjejas oleh keputusan menafikan dan membatalkan visa daripada anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PA) dan Pihak Berkuasa Palestin (PLO) yang berpangkalan di Tebing Barat.
Abbas merancang ke New York bagi menghadiri UNGA peringkat tinggi tahunan di ibu pejabat PBB di Manhattan, di mana pada perhimpunan kali ini beberapa negara sekutu AS difahamkan akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Beliau juga dijadualkan menghadiri sidang kemuncak di sana yang dihoskan oleh Perancis dan Arab Saudi, di mana Britain, Perancis, Australia dan Kanada telah berjanji untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
Pejabat Abbas berkata ia terkejut dengan keputusan visa itu dan berhujah bahawa ia melanggar perjanjian ibu pejabat PBB di mana mengikut perjanjian ibu pejabat PBB 1947, AS secara amnya dikehendaki membenarkan akses diplomat asing ke PBB di New York.
Washington bagaimanapun berkata ia boleh menolak visa atas sebab keselamatan, ekstremisme dan dasar luar negara.
Jabatan Negara AS memberi alasan bagi keputusannya pada Jumaat dengan mengulangi dakwaan lama AS dan Israel bahawa PA serta PLO gagal menolak ekstremisme, sambil mendesak pengiktirafan sebelah pihak untuk negara Palestin.
Pegawai Palestin menolak dakwaan sedemikian dan mengatakan bahawa rundingan dengan AS selaku penimbang tara selama beberapa dekad masih gagal menamatkan pendudukan Israel dan menjamin negara Palestin yang merdeka.
Jabatan Negara AS berkata misi PA ke PBB, yang merangkumi pegawai yang berpangkalan secara tetap di sana, tidak akan dimasukkan dalam sekatan.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata PBB akan membincangkan isu visa dengan Jabatan Negara AS, selaras dengan perjanjian Ibu Pejabat PBB antara PBB dan AS.
Sebelum ini, AS juga enggan mengeluarkan visa kepada pemimpin PLO, Yasser Arafat, pada 1988.
Sehubungan itu, UNGA mengadakan mesyuarat pada tahun terbabit di Geneva dan bukannya New York supaya beliau dapat menghadirinya.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengalu-alukan keputusan Jabatan Negara AS itu.
Terdahulu Israel dan AS kecewa dengan beberapa sekutu yang telah berikrar untuk mengiktiraf negara Palestin di PBB bulan depan di mana sekurang–kurangnya 147 daripada 193 negara anggota PBB sudah mengiktiraf negara Palestin.
Nnnnn
