KUALA LUMPUR 28 Jun – Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan, daripada 1 Julai ini kepada Januari 2026 untuk memberikan lebih banyak masa persediaan berikutan beberapa aspek yang masih memerlukan penjelasan.
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) juga menggesa kerajaan untuk mengurangkan peluasan SST kepada kadar lebih rendah sebanyak empat peratus dalam tempoh dua tahun pertama (2026-2027) bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna.
Dalam kenyataan hari ini, ACCCIM berkata peluasan SST dikenakan kepada perkhidmatan tambahan (pusat kesihatan, kewangan dan penjagaan kesihatan) dan tiga perkhidmatan baharu (penyewaan atau pajakan, kerja-kerja pembinaan dan pendidikan).
“Persediaan mencukupi adalah penting untuk memastikan pematuhan yang lebih baik dan pelaksanaan yang lancar,” gabungan itu sambil berkongsi kebimbangan mengenai pelbagai kenaikan kos yang seiring keadaan ekonomi global dan domestik yang mencabar serta ketidaktentuan dasar tarif perdagangan dan konflik berterusan di Timur Tengah.
“Kesan kenaikan kos yang telah dirasai pada 2025, dijangka berterusan atau mempengaruhi landskap perniagaan dan ekonomi pada 2026,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, ACCCIM menggesa kerajaan untuk menaikkan ambang pendaftaran Cukai Perkhidmatan ke atas pajakan atau penyewaan serta perkhidmatan pembinaan kepada RM3 juta daripada RM1 juta.
ACCCIM turut menyarankan kerajaan untuk menaikkan ambang pengecualian cukai bagi penyewa perusahaan kecil dan sederhana kepada RM2 juta dalam jualan tahunan daripada RM1 juta yang diumumkan pada Khamis.
“Kami turut mencadangkan tempoh pengecualian yang lebih panjang selama 36 bulan untuk kontrak yang tidak boleh disemak dan boleh disemak, supaya merangkumi semua kategori projek berikutan ciri projek dan kitarannya,” kata ACCCIM
ACCCIM akan terus mengadakan libat urus dengan ahli dan pihak berkepentingan industri untuk memberikan maklum balas konstruktif dan penyelesaian kepada kerajaan bagi mengurangkan kesan SST terhadap perniagaan dan isi rumah.