SEPANG 13 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh mengucapkan terima kasih kepada MCA kerana telah membuat satu laporan polis terhadap Pemuda UMNO Terengganu atas kekurangan jalur di bendera Malaysia pada poster mereka.
Beliau juga memohon supaya pihak polis dapat menyiasat dan didakwa seterusnya dikenakan hukuman yang berat.
Dalam kenyataannya, beliau turut bertanya MCA sama ada telah membuat laporan polis terhadap insiden mengibarkan bendera terbalik di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Jika tidak lebih baik kamu buat juga,kerana takut kamu dianggap berat sebelah kerana tidak berani buat report terhadap apek tersebut. Mereka bersatu bab mereka, kita masih lagi berpecah disebabkan fahaman politik Bersatulah wahai bangsaku,” katanya.
Malam tadi, Pemuda MCA Jasin, Alor Gajah dan Hang Tuah Jaya membuat laporan polis berhubung poster kekurangan jalur pada satu poster yang dibuat oleh Pemuda Terengganu.
Terdahulu, mengulas kenyataan Angkatan Muda Keasilan (AMK) berkaitan isu sama, Dr Akmal berkata pendirian Pemuda UMNO adalah jelas terhadap mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan lambang negara Malaysia
Katanya, sebaik sahaja mendapat berita tentang bendera dalam poster Pemuda UMNO Terengganu tidak cukup jalur,beliau telah membuat kenyataan tidak akan berkompromi dan bukan hanya permohonan maaf,tetapi perlu dihukum berat
“Kenyataan kami ini tetap kekal sama tidak kira kepada mana-mana pihak sama ada apek di Penang, Pas di terengganu, SKJC di Negeri Sembilan mahupun kawan kami Pemuda UMNO Terengganu. Kerana kami bukan hipokrit.
Nak tanya AMK juga,baru nak menunggang isu bendera ni ke? Sebelum ni masih lena tidur ya? Tidak mengapa,rakyat faham,” katanya.
Terdahulu Pengarah Komunikasi AMK Nurhanani Dhamirah Razaleh menggesa, Pemuda UMNO dan seluruh kepemimpinannya tidak bersikap hipokrit dalam isu-isu melibatkan simbol negara.
Sayap muda PKR itu mempersoalkan prinsip dan konsistensi Dr Akmal sama ada kecaman yang dilaungkan sebelum ini hanya wajar apabila kesilapan dilakukan oleh pihak lain dan tidak terpakai oleh parti beliau sendiri.
“AMK mengecam tindakan Pemuda UMNO Terengganu yang menggunakan Jalur Gemilang secara tidak betul dalam salah sebuah poster bertajuk “Desak Hukuman Pembuli yang mempunyai hanya 12 jalur berbanding 14 yang sepatutnya,” katanya.
Nnn
