DHAKA – Pilihan raya umum Bangladesh dijangka berlangsung pada Februari 2026, fasa terakhir dan paling penting – iaitu penyerahan kuasa kepada kerajaan yang dipilih secara sah.
Pemimpin sementara negara itu, Muhammad Yunus mengumumkan demikian sempena ulang tahun pertama penyingkiran bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina susulan kebangkitan rakyat tahun lalu.
“Saya akan mengutus surat kepada Pesuruhjaya Pilihan Raya untuk memohon agar pilihan raya diadakan sebelum Ramadan pada Februari 2026,” kata Yunus dalam satu siaran khas yang disiarkan ke seluruh negara, semalam.
Yunus, 85, penerima Hadiah Nobel Keamanan, kini mengetuai pentadbiran sementara sebagai penasihat utama dan telah berikrar akan melepaskan jawatan selepas pilihan raya diadakan.
Sebelum ini, Yunus menjangkakan pilihan raya akan berlangsung pada April 2026, namun beberapa parti politik utama mendesak agar ia diadakan lebih awal, sebelum ketibaan bulan Ramadan di negara majoriti Islam itu yang mempunyai lebih 170 juta penduduk.
“Saya merayu agar semua rakyat mendoakan kejayaan kami dalam melaksanakan pilihan raya yang adil dan lancar, supaya seluruh rakyat Bangladesh dapat melangkah ke hadapan dalam membina ‘Bangladesh Baharu’,” katanya.
Katanya , kerajaan akan memberikan segala bentuk sokongan yang diperlukan untuk memastikan pilihan raya ini berlangsung dalam suasana aman, telus dan penuh semangat demokrasi.
