KUALA LUMPUR 28 Julai – Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim mempertikai angka 20 tan sampah yang didakwa ditinggalkan peserta himpunan pembangkang di ibu negara Sabtu lalu sehingga mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.
Wakil rakyat PN dari Pas itu mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menipu angka itu walaupun menteri menjelaskan ia dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Awang membangkitkan persoalan mengenai angka 20 tan sampah yang dikatakan dikutip SWCorp, yang didakwa tidak sepadan dengan angka 18,000 peserta yang hadir seperti disahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketika memulakan soalan tambahan, Awang berpantun, “Di waktu malam sangat kelam; Berhati hati berdiri di tepi jalan; Dalam masa tak sampai 12 jam; Hebat menteri daripada DAP ni dapat sukat sampah 20 tan”
Kor Ming ketika menjawab soalan dibangkitkan Awang, menjelaskan jumlah sampah hampir 20 tan yang disebut itu bukan datang daripada beliau, sebaliknya berdasarkan laporan SWCorp.
“Ia berdasarkan laporan SWCorp yang saya terima di lapangan sehingga ratusan petugas dikerah kutip sampah selepas himpunan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Awang ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Kor Ming berkata, kerajaan Madani yang menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjulang prinsip demokrasi mengalu-alukan perhimpunan aman, namun menegaskan penganjurannya perlu dibuat secara aman dan tertib.
“Ini termasuk menjaga kebersihan, yang saya tegur sikap pengotor. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Saya tak pernah kata Yang Berhormat (Awang) yang buang sampah.
“Saya tak nafi ada sekumpulan anggota unit Amal (daripada PAS) membantu membersihkan sampah, saya ucapkan terima kasih. Namun, tidak boleh dinafikan juga 20 tan sampah bersepah di Sogo, Dataran Merdeka dan Jalan Petaling. Ini laporan SWCorp berserta gambar,” katanya.
Awang yang masih tidak mahu menerima penjelasan Kor Ming terus bangkit, menyebabkan Timbalan Speaker, Alice Lau masuk campur menasihatkan Ahli Parlimen Pendang itu duduk.
Manakala Kor Ming ketika cuba meneruskan penjelasan mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mempersoalkan apa-apa perkara, sekiranya enggan menerima sebarang jawapan yang tidak memihak kepada gabungan berkenaan.
Beberapa wakil pembangkang juga dilihat bertikam lidah dengan Nga Kor Ming kerana tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat itu.
Semalam, Kor Ming dilapor memaklumkan SWCorp terpaksa bertungkus-lumus membersihkan hampir 20 tan sampah yang ditinggalkan selepas himpunan pembangkang yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu, sambil menegaskan sikap pengotor yang dilakukan pihak berkenaan jelas sangat memalukan.
Nnnn
