Nurul Izzah ajak bina kembali kekuatan

KUALA LUMPUR 25 Mei  – Timbalan Presiden PKR yang baharu dipilih, Nurul Izzah Anwar mengajak semua ahli parti itu membina kembali kekuatan membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat.

“Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan. saya mewakili semua, sama ada yang mengundi saya, mahupun saudara Rafizi (Rafizi Ramli) amatilah amanat ini,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Katanya, kemenangan bukanlah untuk bersorak atau bersenang lenang sebaliknya untuk bekerja dengan lebih keras, melipat gandakan usaha – untuk turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan ‘tempur lawan sebenar’.

“Kita tidak punya banyak masa. Jangan sia-siakan setiap peluang dan setiap saat yang kita ada,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, presiden parti kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan, memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

Justeru , dalam keadaan ini, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal, untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar Presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.

Katanya , antara langkah pertama yang diambil sebagai Timbalan Presiden adalah  memperkenalkan sebuah program universal untuk semua cabang, satu inisiatif menyeluruh bagi memperkasa jentera akar umbi.

“Program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat, serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan. Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup (dari segi) ilmu, sumber dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” katanya.

Nurul Izzah juga sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi mandat dan kepercayaan kepada beliau sehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment