KUALA LUMPUR 22 Mei – Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn.Bhd. (Andalusia Travel) bersedia menawarkan 70,000 tiket penerbangan Saudi Airlines (Saudia) kepada jemaah yang ingin menunaikan umrah bagi musim 1447H.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris, berkata, tawaran itu adalah susulan kontrak pembelian tiket atau tempat duduk penerbangan Saudia yang bernilai RM248.5 juta.
“Andalusia memilih Saudia sebagai rakan strategik kerana pelbagai kelebihan yang ditawarkan kepada jemaah” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Andalusia dan Saudia di sini hari ini..
Pada majlis itu Ida Riswana mewakili Andalusia manakala Saudia diwakili Pengurus Kanan Adinas Tours & Travel Sdn. Bhd. Che Zakiah Ahmad.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan Penolong Pengurus (Operasi) Adinas Tours & Travel Sdn. Bhd. Zamri Zakaria.
Pada musim 1446H, Andalusia berjaya menerbangkan hampir 21,000 jemaah menggunakan penerbangan Saudia.
Menurut Ida Riswana, MoU itu membawa pelbagai faedah strategik, terutama kestabilan harga, pilihan tarikh penerbangan yang lebih banyak serta kapasiti tempat duduk sama ada pada musim puncak atau sebaliknya.
“Ia juga menyediakan laluan khas dan keutamaan dalam operasi logistik ibadah umrah serta memperkukuh keyakinan bahawa perjalanan mereka diuruskan melalui saluran yang profesional, selamat dan terjamin,” katanya.
Di samping itu, Saudia juga menawarkan pelbagai kelebihan kepada jemaahnya termasuk penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah, kuota bagasi yang besar, hidangan cita rasa muslim, pengumuman waktu solat dan arah kiblat.
“Ruang solat khas dalam pesawat menjadikan pengalaman spiritual lebih bermakna sepanjang perjalanan serta reputasi sebagai syarikat penerbangan nasional yang memahami budaya dan keperluan umat Islam,” katanya.
Ida Riswana berkata walaupun jumlah jemaah yang menggunakan Saudia tidak mencapai sasaran musim lalu, Andalusia tetap komited untuk memperkukuhkan jualan dan akan terus menyokong usaha Saudia mencapai sasaran pada musim akan datang.
“Kami di Andalusia bertekad untuk terus menyokong penjualan sehingga 35,000 tiket Saudia melalui kempen pemasaran, pakej umrah yang menarik dan kerjasama lebih erat dengan rakan-rakan agensi serta institusi kewangan,” katanya.
Sementara itu, Che Zakiah berkata, MoU itu merupakan kesinambungan kepada kerjasama strategik antara dua organisasi yang telah terjalin lebih dari 20 tahun lalu, berkongsi nilai murni dan komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.
Katanya, Malaysia menjadi salah satu pasaran penting bagi Saudia dan amat berbesar hati dapat sekali lagi berganding bahu dengan Andalusia Travel yang disifatkannya sebagai syarikat pelancongan Islamik terkemuka di negara ini.
“Lebih daripada keuntungan komersial, kerjasama ini adalah satu amanah besar untuk menjaga kebajikan dan keselesaan jemaah ditambah dengan pengalaman serta reputasi Andalusia dalam pengurusan haji dan umrah,” katanya.
Dalam pada itu, Md Daud menyambut baik kerjasama strategik itu dan Saudia menawarkan beberapa keistimewaan kepada jemaah yang menggunakan penerbangan nasional Arab Saudi itu.
Katanya, antara keistimewaan itu termasuk ruang solat dan ketika di dalam penerbangan, setiap kali masuk waktu solat , jemaah akan diperingatkan dengan tatacara berwuduk.
Nnnn