TENTERA Israel menjadikan sebuah pusat kesihatan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di selatan Tebing Barat sebagai tapak tahanan warga Palestin, perbuatan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam satu kenyataan, UNRWA berkata tentera Israel ‘menggunakan Pusat Kesihatan Kem Arroub UNRWA (berhampiran Baitulaham) sebagai tapak tahanan sementara semasa operasi mencari dan menangkap pada 12 Februari’.
Menurut kenyataan itu, tentera Israel ‘secara paksa’ memasuki pusat kesihatan dan menggunakannya untuk penahanan dan soal siasat puluhan penduduk Palestin yang dikumpulkan di kem itu, menurut agensi terbabit.
UNRWA menyatakan bahawa ‘ini adalah perkembangan baharu dalam penghinaan terang-terangan terhadap kekebalan kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak boleh dilanggar.
Tambah agensi itu, ‘perbuatan itu mengikuti corak pencerobohan secara paksa ke atas premis UNRWA di Tebing Barat sejak Oktober 2023, yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Israel dan kumpulan bersenjata Palestin’.
Sejak 30 Januari dan pelaksanaan undang-undang Knesset (Parlimen Israel), termasuk dasar larangan hubungan antara UNRWA dan pihak berkuasa Israel, agensi itu tidak lagi dapat berhubung dengan pegawai Israel secara langsung untuk melaporkan atau menangani pencerobohan seperti itu.
“Semua premis PBB adalah kebal dan dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa,” tegas UNRWA.
Oktober lalu, Parlimen Israel meluluskan dua undang-undang mengarahkan penamatan operasi UNRWA di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki serta melarang sebarang hubungan antara pihak berkuasa Israel dengan agensi itu.
Kes terbaharu itu berlaku ketika tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran di Jenin dan Tulkarem, utara Tebing Barat sejak 21 Januari lalu, yang mengorbankan lebih 30 mangsa, menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal, serta memusnahkan kawasan yang luas.
Peningkatan keganasan Israel di Tebing Barat berlaku selepas perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza pada 19 Januari, susulan lebih 15 bulan pengeboman yang meragut lebih 48,200 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan wilayah itu.
Sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, tentera Israel dan peneroka haram telah membunuh sekurang-kurangnya 912 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel ke atas tanah Palestin selama berdekad-dekad adalah tidak sah dan mengarahkan pengosongan semua penempatan sedia ada di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.
Nnn