384 skuter elektrik disita

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 384 skuter elektrik yang diletakkan di tempat awam hingga mengganggu laluan sekitar ibu kota, di sini, kelmarin.

Dalam kenyataannya, DBKL memaklumkan tindakan khas itu dilakukan Jabatan Penguatkuasaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan semua barangan itu dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini.

DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan warga kota, pengunjung dan pelancong.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, DBKL  mengeluarkan lima notis mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, selain lima tindakan sita dilakukan dalam operasi khas, Selasa lalu.

Katanya, tindakan itu dilakukan melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan serta Pejabat Cawangan Cheras terhadap kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan serta penjaja warga asing di sekitar Cheras.

“Semua barangan sita dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, untuk tindakan rekod dan dokumentasi. Tindakan dan pemantauan diteruskan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang sudah dikenal pasti,” kata kenyataan itu.

DBKL berkata, orang awam juga boleh berhubung atau menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aduan di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.

Related posts

Leave a Comment