BATU PAHAT 10 Nov. – Pas melalui Perikatan Nasional (PN) mempunyai mekanisme tersendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, walaupun tidak disenaraikan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk rundingan kerjasama.
Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, ini termasuk meletakkan calon sendiri bertanding mewakili PN selain menjalin kerjasama dengan parti lain.
“Biarlah mereka (GRS) berunding dahulu. Insya Allah kita melalui PN pun ada mekanisme untuk mengadakan perbincangan,” katanya selepas menyampaikan ceramah sempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 Pas Johor di Kompleks Pas Sungai Tongkang, di sini, malam tadi.
Semalam, Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata parti komponen PN itu buat masa ini tidak tersenarai dalam proses rundingan yang akan dibuat mengambil kira kedudukan Pas dalam PN dan GRS yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Pas berada dalam PN, jadi buat masa ini ia tidak dipertimbang untuk dimasukkan dalam kerjasama politik dengan GRS,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti GRS semalam.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PN akan melihat dua perkara, yang pertama ialah gabungan dalam menghadapi PRN itu memandangkan Sabah agak unik berbanding negeri lain.
“Yang kedua, kita akan meletakkan kerusi yang diwakili PN,” katanya selepas menyampaikan ceramah sempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 PAS Johor di Kompleks Pas Sungai Tongkang, di sini, malam tadi.
Tuan Ibrahim turut mengesahkan setakat ini belum ada sebarang keputusan diambil sama ada PN bergerak sendiri atau sebaliknya.
PN Sabah ketika ini dipimpin oleh Naib Presiden Bersatu, Dr Ronald Kiandee.
Nnn
