Penolong pegawai IT rugi RM153,023

KUANTAN 8 Nov. – Seorang penolong pegawai teknologi maklumat (IT) sebuah agensi kerajaan di daerah ini kerugian RM153,023 selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud yang kononnya menawarkan keuntungan sehingga 45 peratus.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 45 tahun itu terjerat dalam penipuan pelaburan berasaskan bitcoin selepas diperdaya dengan individu yang dikenali melalui aplikasi Tinder.

Katanya, mangsa ditawarkan peluang pelaburan dengan pulangan bonus sebanyak 45 peratus sekiranya melabur sejumlah RM100,000.

“Mangsa tertarik untuk menerima tawaran itu selepas memperolehi keuntungan pelaburan daripada dua transaksi awal,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, selepas melabur keseluruhan wang berjumlah RM153,023 dengan lapan transaksi pindahan wang antara 28 Oktober hingga 6 November lalu, akaun pelaburan mangsa disekat dan tidak dapat mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.

Siasatan mendapati sumber kewangan mangsa diperoleh daripada simpanan dan pinjaman peribadi berjumlah RM140,000 daripada dua institusi perbankan.

“Wang itu dipindahkan kepada tiga akaun bank yang dipercayai milik suspek yang berdaftar atas nama syarikat. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan pelaburan terutama melalui platform yang tidak berdaftar atau meragukan.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Beliau menasihatkan orang ramai menyemak kesahihan sesebuah syarikat pelaburan menggunakan ‘investment checker’ yang boleh diakses melalui https://www.sc.com.my/investment-checker.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment