Kumpulan pertama MALBATT 850-11 tiba di tanah air

SUBANG 8 Nov. – Selepas setahun berkhidmat, kumpulan pertama Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang terlibat dengan misi pengaman di Selatan Lubnan selamat tiba di tanah air hari ini.

.Kepulangan kontinjen yang berkhidmat dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tiba dengan menaiki pesawat komersial Batik Air yang mendarat di Pangkalan Udara Subang di sini.

Menurut laman Facebook MyJointForce, kumpulan itu terdiri daripada enam pegawai dan 200 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang diketuai Ketua Pergerakan, Komander Errudin Bujang TLDM.

Ketibaan kumpulan terbabit disambut Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Tong Veng Leong TUDM.

Veng Leong dalam ucapannya berkata, penugasan misi kali ini dilihat mencabar ekoran konflik yang memberi kesan kepada keselamatan di Selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-11.

“Namun ia juga merupakan pengalaman berharga buat semua dan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga ATM termasuk rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan Malaysia agar keamanan serta kemakmuran yang dikecapi terus terpelihara,” katanya.

Kontinjen MALBATT 850-11 keseluruhannya diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni, dengan kekuatan seramai 854 orang terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota termasuk tiga pegawai dan 27 anggota ABDB serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.

Rabu lalu, Malaysia menghantar kumpulan pertama MALBATT 850-12 membabitkan 220 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh.

Penugasan tersebut susulan proses kepulangan berperingkat kumpulan MALBATT 850-11 yang telah selesai menjalankan tugas di sana.

Related posts

Leave a Comment