KUALA LUMPUR 6 Nov.- Rundingan berhubung peruntukan memorandum persefahaman (MoU) buat Ahli Parlimen pembangkang.masih terbuka bagi individu, dan bukannya secara kumpulan besar, iaitu Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menegaskan beliau terbuka sekiranya ada individu dari blok PN yang mahu berunding.
Menurutnya, setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) memberi maklum balas terhadap surat dan e-mel berkaitan perkara tersebut.
Katanya, cadangan balas daripada Syed Saddiq akan dibawa dan dibincangkan di bawah whip kerajaan.
“Manakala, kalau ada di kalangan individu Ahli Parlimen di sebelah sana (pihak pembangkang) untuk berbincang dengan saya, saya terbuka. Tapi secara kelompok saya dikatakan sudah pun menolak daripada keputusan pihak parti itu sendiri.
“Jadi saya tak boleh buat apa-apalah sebab tugas saya adalah untuk berunding, kalau tak nak berunding saya tak boleh buat apa-apa. Saya hanya berunding dengan mereka yang nak berunding,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, beliau juga akan memanggil Syed Saddiq selepas ini, bagi menyampaikan respons terhadap segala cadangan beliau.
Semalam, Fadillah dilaporkan berkata pintu rundingan berhubung MoU bagi peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sudah ditutup.
Tegasnya, sekiranya orang sudah ‘menolak pinangan’, malulah kalau mahu dirujuk semula kepada orang itu.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan PN sebulat suara menolak MoU atas beberapa sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Malah pembangkang menyifatkan MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.