Usaha melangkaui kesanggupan negara lain

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Kerajaan sudah mengambil langkah wajar dan tegas bagi memberikan tekanan ke atas Israel bagi menghentikan keganasan perang berterusan di Gaza, malah ia melampaui kesanggupan negara lain di dunia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, langkah diambil kerajaan mesti didasari strategi yang tepat bagi memelihara keamanan dan kepentingan rakyat di negara ini.

“Dari segi ketegasan, bukan nak takbur tetapi saya sudah mengambil langkah yang melangkaui kesanggupan banyak negara malah ramai rakan dari negara (luar) yang ingatkan saya mengenai risiko ini.

“Pagi tadi saya turut berbincang dengan Menteri Luar mengenai kenyataan yang dikeluarkan (Malaysia), bagaimana untuk memastikan supaya Malaysia tidak terjejas.

Saudara sendiri tahu dan baca buku mengenai bagaimana Amerika Syarikat menggulingkan pemerintahan (kerajaan) kerana pendirian tegas yang bertentangan dengan pendirian mereka, namun ini risiko yang saya tidak ketepikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Memperincikan strategi Malaysia, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, adalah lebih baik untuk Malaysia membina kekuatan dalaman dan secara bersama dengan negara Arab, negara Islam dan Selatan Global bagi menghadapi permasalahan dunia yang semakin rencam.

“Soal penyelesaian tentu akan dirangka Palestin sendiri bersama rakan mereka dalam kalangan negara jiran. Saya lihat setakat ini, (usaha Malaysia ambil) adalah apa yang munasabah dan boleh dilakukan.

Saya faham tekanan diberikan dan saya tidak memperkecil (hasrat mendukung pembebasan Palestin) kerana kita rasa resah dan sedih terhadap apa yang berlaku setiap hari,” katanya.

Beliau turut mengutuk serangan kejam Zionis sebagai melampaui batas dan tekanan semua negara perlu diteruskan bagi menghentikan kezaliman terbabit.

“Ini belum pernah berlaku dalam sejarah moden…perkara yang terjadi terhadap rakyat Palestin, orang yang biadap dan gila saja (melakukannya).

“Malah (ada negara sekutu Israel) sanggup menyebut soal hak asasi, demokrasi dan beri hujah untuk pertahankan kezaliman ini,” katanya.

Menjawab soalan mengenai jumlah bantuan kewangan disalurkan kepada Gaza, katanya, setakat ini, kerajaan sudah memperuntukkan RM25 juta bagi meringankan beban rakyat Palestin.

“Dukungan kemanusiaan, dari segi wang tunai, lebih RM100 juta (sudah disalurkan) sebelum ini. Selain itu, melalui usaha Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan, kita bawa pesakit dari Gaza untuk dirawat di hospital tentera di sini.

“Kita sedang berbincang dengan Kementerian Luar untuk menyegerakan bantuan kewangan selanjutnya,” katanya.

Nn

Related posts

Leave a Comment