NEW YORK – Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) melaporkan lebih satu bilion orang hidup dalam kemiskinan teruk di seluruh dunia, dengan kanak-kanak menyumbang lebih separuh daripada mereka yang terjejas
Ketua perangkaan UNDP, Yanchun Zhang, berkata, Indeks Kemiskinan Berbilang Dimensi (MPI) 2024 menunjukkan gambaran menyedihkan dengan 1.1 bilion mengalami kemiskinan multidimensi, di mana 455 juta hidup dalam bayang-bayang konflik.
Katanya , bagi golongan miskin di negara yang dilanda konflik, perjuangan untuk keperluan asas adalah pertempuran yang jauh lebih hebat dan terdesak.
Kertas kerja yang diterbitkan dengan Oxford Poverty and Human Development Initiative (OPHI) menekankan bahawa kadar kemiskinan adalah tiga kali lebih tinggi di negara-negara berperang, memandangkan 2023 menyaksikan konflik paling banyak di seluruh dunia sejak Perang Dunia Kedua.
UNDP dan OPHI menerbitkan MPI setiap tahun sejak 2010, mengumpulkan data dari 112 negara dengan gabungan populasi 6.3 bilion orang.
Ia menggunakan penunjuk seperti kekurangan tempat tinggal yang mencukupi, sanitasi, elektrik, bahan api memasak, pemakanan dan kehadiran ke sekolah.
Laporan itu mengulangi penemuan tahun lalu bahawa 1.1 bilion daripada 6.1 bilion orang di 110 negara menghadapi kemiskinan multidimensi yang melampau.
Menurut laporan itu, kira-kira 584 juta orang bawah 18 tahun mengalami kemiskinan tegar, mewakili 27.9 peratus kanak-kanak di seluruh dunia, berbanding 13.5 peratus orang dewasa.
Ia juga menunjukkan bahawa 83.2 peratus daripada penduduk termiskin di dunia tinggal di Sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.
Sementara itu, pengarah OPHI, Sabina Alkire, berkata konflik yang berlaku menghalang usaha untuk mengurangkan kemiskinan.
Apa yang mengejutkan ialah jumlah orang yang bergelut untuk menjalani kehidupan yang baik dan pada masa yang sama bimbang akan keselamatan mereka adalah seramai 455 juta.
“Ini menunjukkan satu cabaran yang jelas tetapi tidak dapat dielakkan kepada komuniti antarabangsa untuk memberi tumpuan kepada pengurangan kemiskinan dan memupuk keamanan, supaya sebarang keamanan yang terhasil benar-benar dapat bertahan,” katanya.
India ialah negara yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai berdepan kemiskinan tegar, yang memberi kesan kepada 234 juta daripada 1.4 bilion penduduknya.
Ia diikuti oleh Pakistan, Ethiopia, Nigeria dan Republik Demokratik Congo yang menyumbang hampir separuh daripada 1.1 bilion penduduk miskin.
