Kelui, walkie talkie dilarang masuk pesawat

BEIRUT – Sehari selepas dua gelombang letupan peranti berlaku di seluruh Beirut, Direktorat Umum Penerbangan Awam Lubnan melarang alat kelui dan walkie-talkie dalam penerbangan.

Dalam satu kenyataan, direktorat itu telah mengarahkan syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Rafic Hariri untuk memaklumkan kepada penumpang bahawa alat kelui dan walkie-talkie dilarang dalam penerbangan.

Larangan itu terpakai untuk bagasi yang didaftar masuk dan barangan dibawa masuk ke dalam kabin, dan pihak berkuasa memberi amaran bahawa mana-mana peranti sebegitu akan dirampas.

Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 3,250 lagi cedera pada Selasa dan Rabu dalam letupan yang menyasarkan ribuan peranti komunikasi tanpa wayar di seluruh negara, lapor Agensi Anadolu.

Kumpulan Hezbollah di Lubnan mendakwa, Israel berada di sebalik letupan peranti berkenaan dan berikrar akan membalas dendam.

Bagaimanapun tiada sebarang komen daripada Israel mengenai letupan itu, yang berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan rentas sempadan antara Israel dan Hezbollah sejak serangan maut Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Setakat ini, hampir 41,300 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober lepas.

 

(keratan laporan NST 20.09.2024)

Related posts

Leave a Comment