WASHINGTON: Calon presiden dari parti Demokrat, Kamala Harris, 59 memilih Gabenor Minnesota, Tim Walz sebagai gandingannya, pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November depan.
Walz, seorang veteran Pengawal Kebangsaan Tentera Darat AS dan bekas guru berusia 60 tahun, dipilih kei Dewan Perwakilan AS pada 2006 dan berkhidmat selama 12 tahun, sebelum dipilih sebagai gabenor Minnesota pada 2018.
Sebagai gabenor, Walz mendorong agenda progresif yang merangkumi makanan sekolah percuma, matlamat untuk menangani perubahan iklim, pemotongan cukai untuk kelas pertengahan dan memperluas cuti bergaji untuk pekerja Minnesota.
Kehadiran Walz dijangka dapat membantu Harris memenangi pengundi luar bandar, berkulit putih.
Walz sejak sekian lama memperjuangkan hak reproduktif wanita, namun turut menunjukkan sikap konservatif ketika mewakili daerah luar bandar di Dewan AS, mempertahankan kepentingan pertanian dan menyokong hak memiliki senjata api.
Beliau secara relatifnya tidak dikenali di peringkat kebangsaan sehingga isu pemilihan gandingan oleh Harris menjadi panas, namun sejak itu profilnya melonjak.
Seorang ahli Kongres yang popular, beliau dilaporkan mendapat sokongan bekas Speaker Dewan Rakyat, Nancy Pelosi, yang memainkan peranan penting dalam memujuk Biden untuk meninggalkan medan persaingan.
Harris dan Walz akan menentang Trump dan gandingannya, JD Vance, juga seorang veteran tentera dari Midwest, dalam pilihan raya November depan.
Nnn
