KOTA BHARU 31 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, tidak pernah mengeluarkan arahan kepada PKR yang melarang pemakaian baju Pakatan Harapan (PH) ketika masuk ke kawasan DUN Nenggiri.
Ahmad Jazlan yang menafikan demikian menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan berkenaan sebagaimana dakwaan yang tular sejak petang semalam melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Malah, kandungan arahan yang tular itu turut mendakwa Ahmad Jazlan hanya membenarkan jentera PKR memakai baju UMNO dan BN.
“Petang semalam, berlegar mesej berhantu yang memburukkan nama saya. Ini adalah satu dakyah dan konspirasi politik kotor (didakwa) daripada pihak lawan.
Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara ini. Seluruh jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan bersemangat dan kekal fokus untuk memenangkan calon BN di DUN Nenggiri,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.
Media sebelum ini melaporkan UMNO menghormati pandangan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li yang mencadangkan DAP tidak perlu hadir membantu kempen di Nenggiri menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 17 Ogos depan.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, dipetik berkata pandangan berkenaan mempunyai asas kerana Ku Li yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan Pengarah PRK Nenggiri, adalah ahli politik veteran serta lebih mengetahui sentimen setempat.
Sebelum itu, Ku Li dilaporkan meminta DAP supaya tidak perlu hadir berkempen di Nenggiri menjelang PRK DUN berkenaan di Kelantan.
Tengku Razaleigh dipetik berkata, tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang 100 peratus pengundi Melayu.
